Skip to main content
Text-size A- A A+
Text-size A- A A+
News
Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Sektor Infokomunikasi
October 15, 2026
Bandar Seri Begawan, Khamis, 15 Oktober 2026
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) pada pagi ini telah mengadakan Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Bilik Al-Mahabbah, dengan berfokuskan kepada peranan sektor infokomunikasi.
Sesi dialog tersebut bertujuan untuk membincangkan perkembangan semasa serta isu-isu berkaitan teknologi dan inovasi, pendigitalan perkhidmatan Kerajaan, industri teknologi infokomunikasi dan keselamatan siber, khususnya perkara-perkara yang menjadi perhatian masyarakat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menekankan kepentingan sesi dialog berkenaan sebagai wadah untuk bertukar pandangan serta membincangkan langkah-langkah ke hadapan bagi memajukan sektor infokomunikasi dan menyokong agenda pendigitalan negara.
Ucapan tersebut turut menyentuh peranan sektor infokomunikasi sebagai pemacu penting dalam memperkukuh Transformasi Digital Kerajaan dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Seiring dengan perkembangan teknologi baharu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi untuk memudahkan tugasan, meningkatkan produktiviti serta menyokong analisis dan pembuatan keputusan.